Oleh : Hajah Siti Zuraihah Haji Awang Sulaiman / Foto : Mohammad Hatral Hazmi Awang Abdul Hamid
JERUDONG, Khamis, 3 Julai. - Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH menjadi tuan rumah bagi Sidang Kemuncak Rangkaian Penyelidikan Dasar (CPRN) Pusat SEAMEO buat kali kedua, sekali gus mengukuhkan lagi peranannya sebagai platform utama dialog dasar serantau.
Bertemakan 'Building Bridges to a Sustainable Future : Inclusive Collaboration and Innovation in Education, Science, and Culture', Sidang Kemuncak CPRN 2025 kali ini menghimpunkan lebih 180 delegasi terkemuka termasuk pembuat dasar, penyelidik dan pemimpin pendidikan dari Negara Anggota SEAMEO serta negara rakan seperti United Kingdom, Finland, Perancis, Australia, Hong Kong dan China.
Majlis Perasmiannya disempurnakan pagi tadi oleh Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md. Salleh selaku Presiden Majlis SEAMEO, berlangsung di The Empire Brunei, di sini.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Pengarah Sekretariat SEAMEO, Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim; Duta-duta Besar dan Pesuruhjaya-pesuruhjaya Tinggi Negara Anggota dan Bersekutu SEAMEO ke Negara Brunei Darussalam (NBD), Setiausaha-setiausaha Tetap, Naib Canselor, Timbalan-timbalan Setiausaha Tetap, ketua-ketua jabatan dari Kementerian Pendidikan NBD, pengarah-pengarah, timbalan-timbalan pengarah dari Pusat-pusat SEAMEO dan wakil-wakil daripada pelbagai kementerian, institusi dan organisasi rakan kongsi.
Terdahulu, dalam ucapan Pengarah Pusat SEAMEO VOCTECH, Awang Haji Norjemee bin Jenek menyatakan, tema Sidang Kemuncak tahun ini menekankan kepentingan membina rangkaian, memperkukuh sokongan dan inisiatif bersama untuk memupuk perkongsian ilmu dan cadangan dasar dalam kalangan Pusat-pusat SEAMEO, institusi pendidikan, kementerian berkaitan serta rakan-rakan strategik.
Menurutnya, sebanyak 32 kertas kerja akan dibentangkan dalam Sidang Kemuncak ini, yang merangkumi sumbangan daripada 13 Pusat SEAMEO, 12 institusi pengajian tinggi dan tiga agensi pembangunan.
Beliau seterusnya melahirkan keyakinan bahawa maklumat, data dan wacana yang dikongsikan semasa Sidang Kemuncak tersebut akan membuka jalan untuk memperkukuh dan menambah baik dasar serta strategi bersama demi membina masa depan yang lestari bagi rantau ini.
Sidang Kemuncak ini menampilkan barisan pemikir global terkemuka yang menyampaikan ucaptama perintis dalam pelbagai bidang penting.
Pengarah Pendidikan dan Kemahiran, Organisasi bagi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Andreas Schleicher dalam pembentangan ucaptamanya antara lain menilai pendekatan konvensional untuk pembaharuan pendidikan.
Analisis beliau yang mendalam mengenai sistem pendidikan di Negara-negara Anggota SEAMEO disokong oleh penemuan daripada Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2022.
Beliau mendedahkan bahawa produktiviti pembelajaran yang rendah berbanding masa pembelajaran adalah salah satu halangan utama kepada kemajuan dan menyeru reformasi dasar yang strategik serta metodologi pengajaran yang inovatif bagi meningkatkan keberkesanan pendidikan.
Semasa Sidang Kemuncak berkenaan, Ketua Pegawai Pendidikan dan Kemahiran di Education Development Trust, United Kingdom, Tony McAleavy menyampaikan pembentangan tentang 'Pengajaran Inovatif untuk Pendidikan Berkualiti : Kuasa Metakognisi dan Strategi Pembelajaran' manakala Pengarah Eksekutif Philippines National Institutes of Health, Dr. Eva Maria C. Cutiongco-de La Paz pula menerangkan tentang hubungan penting antara sains kesihatan dan reformasi pendidikan, sementara Penyelidik UNEVOC, Dr. Margarita Pavlova akan membentangkan berkenaan rangka kerja pecah tanah untuk inisiatif TVET hijau yang menyelaraskan pembangunan sumber manusia dengan kelestarian alam sekitar, pada hari terakhir Sidang Kemuncak berkenaan.
Sidang Kemuncak ini bukan sahaja mengetengahkan pembentangan ucaptama malah menyediakan platform dinamik untuk perkongsian pengetahuan pelbagai hala.
Sepanjang program dua hari tersebut, para peserta terlibat dalam penyelidikan mendalam melalui pembentangan selari dan panel yang menampilkan penyelesaian yang mencabar minda mengenai isu-isu kritikal dalam sektor pendidikan, sains dan budaya serta dialog dasar berstruktur yang tertumpu kepada pelaksanaan pendekatan inovatif.
Reka bentuk program yang komprehensif ini memastikan semua pihak berkepentingan dapat menyumbang dan memperoleh manfaat daripada kepakaran kolektif, dengan setiap sesi direka khusus untuk menterjemahkan perbincangan teori kepada rangka kerja dasar yang boleh dilaksanakan.